Monday, January 3, 2011

BAHASA MELAYU DALAM PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Teknologi Maklumat dan Komunikasi ( ICT ) yang merupakan tempias atau kesan lansung daripada perkembangan dan kemajuan yang pesat dalam bidang mikroelektronik sehingga menghasilkan pelbagai kemudahan teknologi maklumat seperti komputer peribadi, telekomunikasi multimedia dan sebagainya. Seterusnya kemunculan internet telah meluaskan penggunaan ICT dengan jaringan informasi bersepadu sehingga membolehkan diaplikasikan sebagai media komunikasi yang melibatkan teks, bunyi, grafik dan video. Fenomena ini secara langsung mempengaruhi dan mencabar kewibawaan dan kedudukan Bahasa Melayu di rantau Nusantara ini.

Institusi pendidikan adalah medium penting untuk mengukuhkan lagi nilai dan keperluan Bahasa Melayu di kalangan generasi muda bangsa Melayu melalui sistem pendidikan yang mengambil kira penyerapan dan penyebatian kemajuan dan perkembangan ICT. Misalnya, generasi muda akan mempunyai peluang untuk menghalusi Bahasa Melayu ke dalam jiwa mereka melalui kegiatan dan aktiviti bercorak Bahasa Melayu dengan menggunakan teknologi maya yang diasaskan oleh kemudahan internet. Adalah disedari umum akan dominasi Bahasa Inggeris dalam internet yang menjadi pencetus teknologi dan ilmu pengetahuan pelbagai bidang yang diinginkan oleh masyarakat dunia. Dalam hal ini, masyarakat mestilah tegas dalam menentukan kedudukan Bahasa Melayu dan peranan bahasa yang dipelajari dalam sistem pendidikan mereka. Jika bahasa asing yang dipelajari memerlukan makmal dan program khusus dalam menguasainya maka tidak perlu diketepikan juga kepentingan penyediaan prasarana dan program yang sedemikian rupa kepada Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan.

Penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat masih belum mencapai tahap yang memuaskan. Perkara ini dapat dilihat dalam kegiatan bercorak pendidikan seperti persidangan teknologi maklumat di mana tahap penggunaan Bahasa Melayu amat sedikit dan kurang mendapat sambutan daripada orang ramai. Ini disebabkan oleh sebilangan anggota masyarakat berasa lebih selesa dan lebih maju jika menggunakan medium Bahasa Inggeris. Sementelahan, penggunaan Bahasa Melayu dalam kegiatan teknologi maklumat dianggap tidak bertaraf antarabangsa kerana penggunaan Bahasa Inggeris dianggap mempunyai nilai ekonomi dan sosial yang lebih tinggi berbanding dengan Bahasa Melayu.

Suatu kajian telah dilaksanakan untuk menganalisis terhadap jenis bahasa yang kerap digunakan dalam web organisasi di Malaysia. Kategori yang telah dianalisis dalam kajian ini ialah Organisasi Perniagaan, Organisasi Kerajaan, Kerajaan Negeri dan Badan-Badan Berkanun. Bagi Organisasi Kerajaan misalnya, daripada 214 laman web yang dilawati kira-kira 35% laman web menggunakan Bahasa Melayu manakala 29% lagi menggunakan Bahasa Inggeris. Kesimpulan daripada kajian ini mendapati, tahap penggunaan Bahasa Melayu dalam laman web adalah memuaskan. Tetapi perisian pendidikan dalam versi Bahasa Melayu masih lagi ketinggalan. (Aziz Deraman, 2001).

Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi maklumat dan komunikasi yang wujud kini mengambil beberapa bentuk. Salah satu daripadanya ialah penggubalan istilah Bahasa Melayu untuk mengungkap konsep dan gagasan tertentu dalam kedua-dua teknologi ini.

Antaranya ialah :-

  1. e-mel (electronic mail)
  2. e-pendidikan (electronic education)
  3. k-masyarakat (knowledge society)
  4. e-dagang (electronic commerce)
  5. k-ekonomi (knowledge economy)
  6. k-pekerja (knowledge worker)

Ungkapan atau istilah yang berbentuk “e-pendidikan”, “k-pekerja”, dan sebagainya yang mengambil acuan “e…..” dan “k…..” sebenarnya telah melanggar hukum D-M.(Diterangkan-Menerangkan) Dengan terciptanya ungkapan/istilah sebegini, kita sebenarnya membenarkan sesuatu yang menyalahi dan tidak dibenarkan dalam Bahasa Melayu. Misalnya e-mel yang membawa erti elektronik mel dan k-pekerja yang membawa erti knowledge pekerja. Ungkapan/istilah yang bermula dengan “k-“ itu tidak sahaja melanggar hukum D-M, tetapi juga membenarkan kemasukan sejenis gabungan baru yang mengekalkan unsur Bahasa Inggeris dalam bentuk asalnya ke dalam sistem Bahasa Melayu. Hal ini merupakan satu perkembangan baru dalam morfologi Bahasa Melayu khasnya, dan dalam Bahasa Melayu amnya. Walaubagaimanapun Bahasa Melayu harus turut dilibatkan dalam skop yang lebih luas daripada yang wujud kini.

Beberapa usaha telah diutarakan untuk memajukan penggunaan Bahasa Melayu dalam teknologi maklumat. Antaranya ialah memberi pengiktirafan dalam bentuk skim ganjaran atau anugerah kepada sesiapa yang berjuang dalam memartabatkan Bahasa Melayu. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka haruslah mencari istilah dan bahasa dalam teknologi maklumat bagi semua golongan pengguna Bahasa Melayu secara percuma dan ini boleh diperhebatkan melalui gerbang web bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka yang sedia ada. Di samping itu, Dewan Bahasa dan Pustaka harus menyediakan prasarana yang lebih dinamik dalam usaha untuk mengembangkan istilah dan bahasa dalam gerbang web yang sedia ada. Sikap permuafakatan dan kerjasama perlu terjalin dalam usaha memantapkan lagi teknologi maklumat berbahasa Melayu dan harus pertingkatkan pada peringkat negara serantau. Sementelahan, pihak National IT Council (NITC), Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC), dan IPTA boleh melonggokkan perisian aplikasi generic berbahasa Melayu yang murah dan mudah diperolehi di pasaran negara.

Di peringkat dunia, penutur Bahasa Melayu adalah seramai lebih 250 juta orang. Ini meletakkan kedudukan status Bahasa Melayu di tempat keempat teramai penuturnya selepas bahasa Mandarin, Sepanyol dan Inggeris. Jadi tidaklah mustahil jika Bahasa Melayu menjadi bahasa komunikasi dan dipelajari di seluruh dunia melalui teknologi maya jika masyarakat kepada bahasanya mengambil kesempatan dari pembentukan dunia sejagat tanpa sempadan dan sekatan yang menjadi fenomena sekarang ini.

BAHASA MELAYU DALAM ERA GLOBALISASI

Dalam konteks pergolakan bahasa yang sedang berlaku pada masa kini, ramai yang tertanya-tanya akan kedudukan Bahasa Melayu pada masa akan datang. Hakikatnya, persoalan pokok ialah tentang peranan Bahasa Melayu pada abad ke-21 kerana abad ke-21 ialah abad Globalisasi, abad kemajuan sains dan teknologi dan abad kejayaan teknologi maklumat. Bahasa Melayu yang telah berperanan sebagai bahasa lingua-franca sejak dahulu lagi. Ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu sudah mampu memainkan peranannya sebelum zaman moden dan maju lagi. Maka adalah mustahil jika kemajuan, kesanggupan dan kewibawaan Bahasa Melayu diragui dalam era Globalisasi. (A. Kadir Ahmad, 1995).

Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pengetahuan moden akan tetap kekal walaupun tidak dinafikan bahawa, Bahasa Inggeris turut berfungsi sebagai bahasa untuk menimba ilmu di negara ini. Keadaan ini tidak bercanggah kerana sudah menjadi dasar pendidikan negara untuk menghasilkan pelajar yang bersifat dwibahasa. Seseorang pegawai pertanian, misalnya, yang ingin menyampaikan taklimat tentang sistem perairan terkini yang baru dipelajarinya melalui kursus yang dianjurkan oleh pendengarnya yang merupakan petani biasa akan lebih selesa berbahasa Melayu.

Jelaslah bahawa bahasa Melayu tetap mempunyai peranan sebagai bahasa ilmu dalam dunia abad ke-21. Namun, kejayaan Bahasa Melayu dalam tugas ini amat bergantung kepada kesediaan pengamal Bahasa Melayu untuk menggunakan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu. Jika rasa megah terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu tidak lagi wujud dan jika semua pihak lebih selesa menggunakan Bahasa Inggeris, maka lama-kelamaan fungsi Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan merosot. Tetapi, orang Melayu optimistik sifatnya, berdasarkan kejayaan Bahasa Melayu dalam 30 tahun yang lalu, potensi yang ada bagi bahasa Melayu untuk kekal sebagai bahasa ilmu adalah amat cerah.

Satu lagi peranan yang dapat dimainkan oleh Bahasa Melayu pada abad ke-21 ialah sebagai pemangkin kepada proses pembinaan tamadun masyarakat Malaysia. Tanpa menafikan peranan Bahasa Inggeris, pembinaan bentuk masyarakat Malaysia abad ke-21 yang unggul dapat dicorakkan oleh Bahasa Melayu, iaitu berdasarkan pendapat yang mengatakan bahawa kita hendaklah maju dan berkembang mengikut acuan sendiri.

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga tidak harus diketepikan dalam perancangan Bahasa Melayu di Malaysia menjelang abad ke-21. Antara fungsi utamanya ialah menyertai usaha “Pembangunan Bahasa Melayu tinggi” di mana usaha ini akan dilakukan bersama dengan “Pembudayaan Ilmu Tinggi”. Selain itu, DBP juga perlu merancang penerbitan karya-karya bermutu dan berilmu pengetahuan yang tinggi seperti buku-buku sains dan kemasyarakatan. Ini akan meningkatkan pemikiran yang tinggi di kalangan masyarakat.

Usaha penterjemahan buku daripada bahasa asing ke dalam Bahasa Melayu perlu dilaksanakan supaya dapat membantu meningkatkan lagi pemahaman masyarakat Malaysia yang tidak fasih membaca dalam bahasa-bahasa lain. Usaha ini harus dilakukan dengan cepat, mudah, murah dan banyak supaya dapat dimanfaatkan oleh seluruh masyarakat. Pada masa kini, DBP sedang berusaha untuk menghasilkan sistem penterjemahan berkomputer yang dapat mempercepatkan lagi proses penerbitan buku-buku terjemahan. (Ismail bin Dahaman, 1991).

Terdapat beberapa fasa yang diusahakan oleh DBP dalam proses pembangunan Bahasa Melayu. Fasa pertama iaitu penerimaan bahasa oleh masyarakat Malaysia telah mencapai matlamatnya. Manakala, fasa yang kedua iaitu “pembinaan bahasa” yang juga dikenali sebagai fasa “pengintelektualan” bahasa merupakan fasa yang perlu ditingkatkan menjelang abad ke-21. Fasa yang ketiga ialah “penyempurnaan” bahasa dari segi kemantapan, keharmonian dan keefisienan, yang mana fasa ini harus dijadikan misi pendidikan Bahasa Melayu menjelang abad ke-21. Akhirnya, fasa keempat merupakan “pembudayaan” bahasa di mana fasa ini belum dilaksanakan lagi. Dalam pembudayaan penggunaan Bahasa Melayu, ia menitikberatkan penggunaan tatabahasa yang betul, penggunaan yang persis dan isi yang tepat. (Awang Had Salleh, 1991)

KESIMPULAN

Pada abad ke-21 ini, Bahasa Melayu telah meniti cabaran yang getir untuk mencapai hasrat dan wawasan negara dalam usaha meletakkan Malaysia setanding dengan bahasa-bahasa lain di dunia ini. Bagi mencapai hasrat ini, pelbagai usaha telah diusahakan oleh pihak kerajaan. Salah satu daripadanya adalah kerajaan telah berjanji akan memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu dalam penyediaan perisian Koridor Raya Multimedia (MSC). Perkara ini bukan sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan dengan wujudnya sekolah bestari di negara ini telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu mampu bersaing dengan bahasa lain.

Peranan Bahasa Melayu sebagai pembina intelek masyarakat kian tercabar dan dicabar. Di abad ini kita seharusnya dapat memajukan dan memartabatkan Bahasa Melayu bukan sahaja di bumi Malaysia tetapi juga di persada antarabangsa. Buktinya, kita telah berjaya melahirkan para cerdik pandai dan ilmuwan yang menggunakan media Bahasa Melayu.

Dalam konteks Malaysia, persaingan dengan Bahasa Inggeris seharusnya menjadi asas yang kukuh untuk meningkatkan penggunaan dan pelaksanaan Bahasa Melayu dalam seluruh sistem pendidikan negara. Kita tidak seharusnya mewujudkan satu tembok penghalang antara Bahasa Melayu dengan Bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris mempunyai sumbangannya tersendiri dalam mempertingkatkan Bahasa Melayu. Bahasa Inggeris mempunyai khazanah ilmunya tersendiri dan boleh dimanfaatkan untuk kepentingan negara terutamanya di dalam pendidikan dan ekonomi.

Sesungguhnya kita semua sebagai rakyat Malaysia yang hidup di dalam sebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum seharusnya memainkan peranan masing-masing bagi memartabatkan dan meningkatkan Bahasa Melayu. Kita tidak mahu Bahasa Melayu ditindas oleh bahasa-bahasa yang lain kerana bahasa melambangkan sesebuah bangsa. Seperti kata Hang Tuah, “Takkan Melayu hilang di dunia” dan itulah sebenarnya kita semua inginkan.